Thursday, February 5, 2009

TUNTUTAN BERMASYARAKAT



Keperluan Bermasyarakat.

Islam menuntut umatnya supaya hidup bermasyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui sejarah , di mana
orang-orang Yahudi menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam lagi.
Rasulullah s.a.w telah mengharuskan bagi orang-orang Arab untuk bertanya kepada orang-orang Yahudi
berkaitan sejarah lama seperti tokoh , peristiwa dan cerita tertentu yang di ambil daripada ajaran kitab
Taurat dan buku-buku ugama mereka yang lain. Namun, pertanyaan mereka itu terhad kepada aspek-aspek
tertentu, tidak termasuk aspek Akidah. Hal ini juga bukan bermakna Islam membenarkan apa yang termaktub
dalam kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan di antara ajaran mereka dengan ajaran
islam yang Rasulullah s.a.w bawa. Tuntutan ini juga lebih jelas lagi berdasarkan Firman Allah :

surah an-Nisa ayat 36 :
Maksudnya : “ dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takabur dan suka meninggi-ninggikan diri ”.

Ayat ini dapat kita fahami bahawa perjalanan hidup bermasyarakat suatu perkara yang dituntut lebih-lebih
lagi kita sesama umat Islam. Perbuatan ini juga merupakan salah satu cabang keimanan kita terhadap Allah s.w.t
melalui sabda Rasulullah s.a.w :


مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِيْنَ فَلَيْسَ مِنْهُمٌ وَمَنْ اَصْبَحَ وَهَمُّهُ غَيْرَ اللهِ فَلَيْسَ مِنَ الله.
( رواه الطبراني )

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”.

Manusia juga perlu hidup bermasyarakat supaya dapat membina sebuah keluarga yang harmoni
dan negara yang aman damai. Hal ini kerana, kehidupan bermasyarakat itu sendiri mempunyai nilai-nilai yang murni seperti bantu-membantu dan menjaga hak-hak yang sepatutnya diperolehi setiap individu khususnya
atau masyarakat umumnya.

Fiman Allah s.w.t :
" ....و تعاونوا عل البر و التقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان واتقواالله إن
الله شديد العقاب "

Surah Al-Maidah (ayat : 2)

Maksudnya : “…dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan Takwa, dan jangan tolong menolong dalam
berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwa lah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat seksaannya.”



Peranan dalam bermasyarakat.

Sebagai manusia yang hidup dalam suasana masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita
perlu mengetahui akan peranan sebagai masyarakat itu sendiri. Antara peranan tersebut ialah :

(1) Menghargai akan kehadiran mahkluk Allah yang ada di muka bumi ini samada manusia, haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan lain-lain lagi.

(2) Mengambil tahu terhadap segala kesusahan dan penderitaan yang di alami oleh mereka.
Sekurang-kurangnya kita memberi harapan yang baik terhadap mereka.

(3) Bekerjasama dalam setiap masalah kemanusiaan dan membantu dalam usaha baik
yang ingin mereka capai.

Akhirnya, terdapat beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan daripada keterangan
diatas, antaranya :


1. Menurut Sunnahtul Allah, bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain.

2. Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

3. Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah s.w.t. dan Rasul.

4. Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat.